Wednesday, January 19, 2022

Panglima Hayat

Laungan perang gegak gempita,
Bakar hati semangat panglima,
Mara selangkah menuju cita, 
Namun beku dilangkah pertama.

Berputih mata hati tertanya,
Menyulam sukma dengan ragu,
Dunia terus dengan arusnya, 
Tidak mengendah tidak menunggu.

Marah membuak jiwa tertekan, 
Lemahnya sebelum pertarungan, 
Apa sebenar yang kau takutkan? 
Kegemilangan atau kehilangan? 

Letakkan akal bersama hati, 
Usah bunuh upaya sendiri, 
Apa jua takdir yang menanti,
Itu semua Tuhan yang beri.

Ambil langkahmu dengan berani,
Lawan dan tawan ke langit tinggi, 
Harap dosamu Tuhan ampuni,
Hiduplah seribu tahun lagi!

Tuesday, March 02, 2021

Pantun dengki membawa mati

Pahlawan pulang dari jelajah, 

Puas menjejak satu negeri,

Asyik mengintai pinggan sebelah,

Rasa tak cukup pinggan sendiri.


Emas dibawa sepenuh peti,

Demi rajanya yang bersemayam,

Dengki memedih didalam hati,

Dendam membakar didalam diam.


Pahlawan handal bermain silat,

Dambaan ramai gadis perawan,

Mulutnya manis, hatinya kelat,

Lagaknya kawan, niatnya lawan.


Terasa hati semakin tawar,

Resah hatinya membuat sasau,

Sebelah tangan hulur penawar,

Tangan belakang sembunyi pisau.


Lama rajuknya asyik dipendam,

Rasanya malah makin mencengkam,

Sabar meranum kerana dendam,

Cuma menunggu waktu menikam.


Emas memancar memang memikat,

Menyihir jiwa kemas terikat,

Insan terleka makin mendekat,

Tak sedar pisau tusuk belikat.


Penyakit hati makin membarah,

Hakis kasih yang masih berbaki,

Pisau menarah menumpah darah,

Khianat demi sebuah dengki.


Segala hancur saat amarah,

Walaupun seksa untuk menelan,

Tubuh terkulai, menyala merah,

Hati menghitam penuh sesalan.


Sahabat semua berlalu pergi,

Keliling memandang penuh sangsi,

Semua tidak berguna lagi,

Neraca Tuhan menjadi saksi.


~nur.aqli, 2021

Saturday, February 13, 2021

Pantun Andainya Marah Baik Diam

Hati terbakar, baiklah diam, 
Jangan terikut dengan hasutan, 
Hati terbakar biarkan padam, 
Usah hirau berantakan syaitan

Resmi manusia mahu menang, 
Terburu mahu tunjukkan taring, 
Jika berdiri, duduk bertenang, 
Andai duduk, teruslah berbaring

Tidakkah tuan berasa lesu, 
Asyik turutkan rasa yang dangkal, 
Marah cuma bertuankan nafsu, 
Marah malah menghambakan akal

Awan hitam beransur kelabu, 
Cahaya tembus naluri sukma, 
Bara menghilang bertukar debu, 
Marah bersurut sesal yang lama

Kini cahaya datang bertamu, 
Pujuklah hati diam tersindir, 
Segeralah padam api marahmu, 
Tenangkan jiwa, hadapi takdir

~Nur_Aqli, 2021