Begini sajalah: engkau tidak akan mengenal erti dahaga sehingga engkau berpuasa dan berumrah dalam bulan Ramadan.
Engkau tidak akan mengenal betapa mahalnya kesabaran sehingga engkau berhimpit-himpit dikalangan jutaan jiwa-jiwa yang sama menagih simpati Tuhan.
Engkau tidak akan faham betapa azabnya jika matahari sejengkal dikepala di Mahsyar nanti sehingga engkau duduk berdoa dan bertawaf dalam bahang yang menyesakkan.
Tapi, aku mengharap mungkin engkau akan dapat mengenal kesyukuran dalam hanya segelas air zam zam yang dihulurkan oleh tangan orang yang bersimpati. Masa itu terasa rendahnya diri, kelemahan sahaja yang ada. Ketahuilah betapa bernilainya tawaran telaga Kauthar kepunyaan Rasulullah s.a.w sebagai penawar dalam kedashyatan kiamat.
Itulah yang selalu berada dalam fikiranku sepanjang disana: jika di Mekah dan Madinah saja sudah begini, bagaimana di Hari Pembalasan nanti?
Cuaca disana memang seperti boleh mendidihkan kepala. Rasanya memang seperti dalam oven. Pokok-pokok hijau susah dinampak, yang ada hanya debu-debu kering dan batu-batu. Dan oleh kerana terlalu ramai orang, maka banyaklah sampahnya. Nasib baik ramai pekerja-pekerja yang setia berdiri disepanjang jalan, menyapu sampah-sampah yang kadangkala sengaja dibuang dijalanan oleh peniaga dan pelanggan.
Orang-orang disana...astaghfirullah. Yang sentiasa difikiran: Sucilah Allah dari segala apa yang mereka sifatkan.
Bila berbuka puasa, ramai yang bersedekah. Tersangat ramai yang bermurah hati. Tetapi bila dikumpulkan sedekah itu dalam plastik, semua berebut-rebut, menjerit-jerit seperti bergaduh. Semua mahu ambil, seolah-olah sedekah itu haknya untuk mendapatkan. Ada juga yang boleh saja meminta apa yang berada dalam tangan orang lain. Keadaan bila terlalu ramai umat memang sangat dashyat.
Bagaimana pula di Raudhah? Semua orang berebut-rebut mendapatkan walau seinci ruang taman syurga itu untuk memohon doa. Semua bertolak-tolakan sampai ada yang terjatuh. Mahu bersujud pun dalam hati berdoa agar kepala tidak dipijak. Orang-orang yang sebelumnya menurut perintah ketua, tiba-tiba lupa dan melepaskan diri seolah-olah mereka takut ditipu dan dirampas peluang berdoa disana. Sebelum masuk kami diberi amaran ada yang melakukan pukau didalam sana. Astaghfirullah, bagaimana iu boleh berlaku?
Apabila beribadat, tidak kisah di Mekah atau Madinah, ada juga yang terlalu pentingkan diri dan kadangkala berkelakuan bodoh. Dikala waktu hendak solat, tiba-tiba ada yang melabuhkan punggung ditempat sujud. Atau waktu ketika solat, ramai yang berlaluan dihadapan tanpa memikirkan orang lain. Ada yang mahu lalu dari saf belakang hingga saf hadapan, tapi merentasi semua saf-saf menggunakan "brute force" seperti bulldozer. Ada yang sudah duduk tapi enggan merapatkan saf kerana angkuh, sehingga segala teguran orang tidak diendah.
Lintasan hati yang jahat memang perlu dijaga. Walau bagaimana ragam mereka disana, kami semua tetamu Allah swt. Walaupun dia busuk, tak mandi, kotor...dia tetap tetamu Allah swt. Biarlah dia sombong, angkuh, bodoh...dia pun tetap tetamu Allah swt. Satu perkara yang harap dapat belajar dari sana ialah berbaik sangka dan menjaga lintasan hati yang jahat. Satu pengajaran ialah bila aku solat sebelah seorang yang sangat tidak menyenangkan baunya, tetapi bila aku terdengar bisikan solatnya, dia ternyata seorang hafizah. Malu aku sendiri. Aku yang konon-konon lebih baik pada hukuman aku sendiri tapi Allah swt lebih mengetahui dan diperlihatkan betapa orang disebelah aku itu jauh beribu kali baik dariku.
Akhirnya aku putuskan yang kita ini semua terlalu memerlukan perubahan drastik dalam nilai penghayatan ilmu dalam amal. Allah kan sukakan kebersihan, jadi kenapa kotor? Allah kan suka toleransi, jadi kenapa degil? Allah kan sukakan berjemaah, mengapa melakukan perkara yang menghalangnya? Allah kan Maha Lembut, jadi mengapa kasar? Allah kan Maha Adil, mengapa zalim? Allah sudah meninggikan orang yang berilmu, jadi mana mereka?
Semua yang aku lihat seolah-olah bertentangan dari prinsip yang dianjurkan Islam. Bagaimana boleh jadi begitu?
Ini bagiku, ialah kegagalan orang yang berilmu. Kau sedar tak, orang-orang tadi yang aku sebutkan, yang berebut-rebut, yang kotor dan kasar itu, mungkin semuanya masuk syurga? Kerana mereka hanya akan ditanyakan atas apa yang mereka tahu. Mereka hanya dipertanggungjawabkan atas apa yang mereka mampu sahaja. Kita yang sepatutnya tahu lebih, yang mengenali hakikat yang sebetulnya mungkin akan masuk neraka kerana lansung tak berfungsi untuk mengubah nasib dan perlakuan umat.
Mestilah ada tujuan mengapa kau diberi pemahaman. Kalau setakat untuk engkau dan keluarga kau sahaja, macam membazir. Mengapa Islam itu tidak bersempadan? Sebab kita tak pernah dihadkan. Semua, semuanya adalah tanggungjawab engkau. Kalau masih begini umat kita, macam mimpi saja zaman kegemilangan gelombang kedua yang diwar-warkan akan berlaku itu.
Nanti bila jasad semua dah jadi debu dan roh perlu menjawab, baik kau berdoa dari sekarang yang kau ada jawapan.
No comments:
Post a Comment