Mekarnya bunga dalam serumpun,
Seri memancar pelbagai warna,
Bagaikan embun dihujung daun,
Itulah misal hidup yang fana.
Hati berbolak berbagi kasih,
Antara nafsu, akal dan ilmu,
Seru Muhammad bagai disisih,
Tunggu waktu Izrael bertamu.
Peristiwa besar akan datang,
Adakah syafaat engkau dapatkan?
Hidup dunia nafsu binatang,
Akhirat pula pinta maafkan?
Rasulullah lari cari umatnya,
Dalam lautan roh terhukum,
Tanda hanya cahaya wudhu'nya,
Janji keselamatan yang terangkum.
Mizan ditimbang keseorangan,
Disaksi dihitung seluruhnya,
Sirat dititi keseorangan,
Penentu nanti pengakhirannya.
Adakah nanti menderu merdeka,
Menuju syurga yang penuh rehat,
Atau jatuh ke lubang neraka,
Kerana kau hakikatnya jahat?
Allah berjanji akan menghimpun,
Kesemua yang kasihnya agung,
Akhir ke syurga lepas diampun,
Derita dunia telah ditanggung.
Andai kita tak bersama nanti,
Pinta Tuhan ampunkan aku,
Nyatanya engkau suci dihati,
Dan aku dikalahkan dosaku.
Api menjulang tiada kasihan,
Kulit terbakar diganti baru,
Kini asyik memanggil Tuhan,
Padahal dulu tidak diseru.
Tinggallah kau ke akhir masa,
Mengenal seksa tiada perinya,
Entahkan nanti engkau merasa,
Ampunan Allah tiada tandingnya.
Sedarlah ini hentian musafir,
Pintu taubat masih terbuka,
Berserahlah pada Allah yang Ghafir,
Akan sesal andai kau terleka.
~Nur aqli, 2015
No comments:
Post a Comment