Hari ini teringat perkara-perkara yang menyedihkan.
Merenggut hati, menjadikannya lemah.
Kelmarin dulu, ada yang beri analisis.
Katanya, "Kasihan. Ujian kamu adalah bersendiri. Apa-apa sahaja yang kau jalani dalam hidup ini: selalunya kau sendiri. Belajar, bekerja..hidup sehari-hari."
Aku jawab, "Sebenarnya yang paling aku benci adalah sendiri. Sebab itu aku baca Al-Mulk setiap malam..tidak aku tinggal kerana katanya Al-Mulk akan menemani dalam kubur nanti"
.
.
Dia tidak berhenti. Disambungnya lagi.
"Mungkin Tuhan mengujimu supaya kamu tega bersendiri. Sampai bersendiri itu kamu syukuri dan tidak perlu menahan hati. Mungkin selepas itu, baru kamu tidak sendiri."
.
.
Diketika yang lain, katanya: "Kesunyian mereka yang pernah ada seseorang disisi mereka dan tiba-tiba tidak ada, lain dari mereka yang lansung tidak pernah ada sesiapa dengannya"
.
.
Lalu aku malu, kerana rasa sukar bersendiri. Ujianku nyata lebih kecil dari orang lain. Malu dengan kelemahan aku sendiri. Sepatutnya aku lebih kuat, kerana ujianku kecil dibanding orang.
.
.
Masalahnya aku tidak berlawan dengan sesiapa tentang siapa lebih sedih, lebih sengsara. Aku hanya mahu jalani hidup ini tanpa komplikasi rasa dan kemahuan.
Aku jadi bungkam didalam hati sebenarnya. Sedihnya sampai hati terdalam...fikiran kelam-kabut cuba memahami, kenapa Tuhan hukumnya begini? Ini ujian atau hukuman?
Astaghfirullah..
Astaghfirullah..
Astaghfirullah..
Berhari-hari, malah berminggu-minggu percakapan ini aku ulang dalam fikiran.
Mengapa aku ditakdirkan sendiri?
Astaghfirullah..
Astaghfirullah..
Astaghfirullah..
Terasa dicucuk-cucuk benakku. Aku enggan percaya yang Tuhan mahu mengajar aku itu. Ujian bukanlah pengajaran atau hukuman. Ujian adalah untuk mengetahui dimana kau letakkan Tuhan. Sedangkan Nabi Zakaria a.s pun diuji dengan kesunyian..Nabi Yaakub a.s juga diuji dengan kerinduan..ya, mungkin hal berbeza namun masih rasa yang sama. Rasa itu yang ditahan. Bukan untuk mengajar apa-apa. Takkanlah Nabi Zakaria a.s tak pandai bersendiri, maka diuji dengan tiada waris? Padahal yang ditunjukkan dalam Al-Quran itu taqwa, betapa tidak putus pengharapannya dalam bisikan doanya kepada Allah. Seharusnya ini lain dari silibus pengajaran: tidak lulus selagi tidak mencapai takat. Rasa itu pun bukan diminta, fitrahnya begitu.
Biarlah. Sudah jalan ceritaku setakat ini begini, akan aku lalui. Bukan jua aku yang menetapkannya begini. Kau pun tak perlu mengatakan apa-apa. Doa lebih baik.
No comments:
Post a Comment