Sunday, March 13, 2011

Memberi alasan dan pujukan pada jiwa


Bagaimana kalau semuanya terjadi cuma dengan pengharapan?
Betapa besarnya harapan kita pada sesuatu, begitulah jua keinginan kita terhadap sesuatu.
Kalaulah semua maksud tercapai asalkan punya harapan yang kuat, dunia apakah yang akan kita dapat nanti?
Kau dan kau patut mendapatkannya semata-mata kerana kau lebih mengharapkannya. Kau pula tidak mendapatnya kerana kau kurang usaha, kau kurang harapan untuk mendapatkannya.

...
Kalau beginilah jalan dunia, yang berjaya cumalah mereka yang benar-benar berusaha untuk kejayaan itu dan bukan orang-orang opurtunis yang licik mencari peluang.
Kalau ini cara terbaik, yang tertindas akan menang dan yang berdosa akan kesusahan.
Kalau inilah cara yang sepatutnya, orang-orang yang benar-benar layak menjadi ibu bapa akan dikurniakan anak dan bukan orang-orang yang cuma akan membuang anak kandungan ditepi jalan. Atau lagi orang-orang yang bahagia dalam cinta cumalah orang-orang yang tidak akan mensia-siakan cintanya dan bukan orang-orang buta yang tak reti mensyukuri nikmat didepan mata.
...
Apa yang kita diajarkan selama ini: yang baik itu yang bahagia, yang tua itu yang dahulu atau yang berusaha itu yang akan mendapatkan...cumalah perkara-perkara yang benar dalam kehidupan utopia.

Dunia ini bukan tempat untuk mendapatkan keadilan, bukan tempat menemukan kesenangan dan pasti bukan tempat untuk menikmati kerehatan. Dinamik dunia tidak menurut ideal.

Dunia inikan secara hakikatnya adalah ujian. Semuanya nanti untuk mendapatkan keputusan kemana kau nanti di Titian Sirat.
Satu-satu dikira, tidak mungkin tertinggal. Dalam ini sahaja ditemukan keadilan kerana diputuskan Yang Maha Adil.

Bagaimana aku waktu itu? Bagaimana pula engkau? Entah.
Memang hati sakit melihat ketidakadilan berleluasa menurut timbangan insan.
Tapi boleh buat apa selain berdoa untuk diberi lebih kesabaran dan rahmat untuk menikmati apa yang didambakan?
Segalanya dalam rancanganNya. Kita memang cepat melatah, semacam Nabi Musa a.s bila diuji hikmat Nabi Khidir a.s.
Zahirnya memang tidak adil dan salah. Tapi apabila waktunya semua diterangkan maksud, bukankah keinsafan timbul kerana terlalu ikutkan kejahilan diri?
Keadilan itu pasti ada, cuma relativiti masa itu memang menggugat kesabaran.
Tidak mengapa, Allah kan ada.
Andainya memang milik kita, tiada siapa lagi yang boleh dan sanggup menidakkannya.
Sekarang cuma tinggal untuk berdoa dan letak pengharapan padaNya, agar harapan kita sama dengan apa yang menjadi rezeki kita pada akhirnya.
InsyaAllah

No comments: