Pesona bersinar si rama-rama,
Tidak terbanding sinar mentari,
Perjuangan kita tidaklah sama,
Ukur baju dibadan sendiri.
Apalah lagi hendak dikata,
Ragu itulah wajar disimpan,
Warna hati tak nampak dimata,
Runtuh jantung direnggut harapan.
Ikan laga asyik kelahi,
Walhal jerung diam sendiri,
Usah disoal takdir Illahi,
Bisu jawapan juga diberi.
Pokok semalu tidak berdahan,
Lain pula si pokok pulasan,
Takdir semua ditentu Tuhan,
Walau dirayu setiap insan.
Rimba diterjah hingga berdarah,
Mati kerana tidak berbekal,
Redha tanpa daya cumalah pasrah,
Kudrat dan doa barulah tawakal.
~nur aqli, 2014
No comments:
Post a Comment