Friday, February 28, 2020

Layar takdir yang bergantung pada tiupan ketentuan Illahi

Siapa pemilik masa?
Allah.

Siapa pemilik takdir?
Allah.

Siapa pemilik Syurga dan Neraka?
Allah.

Kau percaya Allah Maha Mengetahui?
Ya

Kau percaya Allah Maha Menyayangi?
Sudah tentu.

Jadi, persoalanmu tentang takdir itu, sebenarnya apa yang kau risaukan?
...

Kau risau jika yang berlaku bukan kehendakmu?
Ya.

Tapi, kamu yakin kehendakmu benar?
Tidak.

Antara pilihan kamu dan pilihan Allah, mana yang lebih baik?
Pilihan Allah.

Kenapa?
Kerana Allah Maha Mengetahui dan Maha Menyayangi.

Jadi mengapa masih berkecamuk fikiranmu, masih bergelora hatimu?
Aku risau tentang masa depan. 
Aku sesal dengan yang telah lalu. 
Aku tidak berpuas hati dengan yang sekarang. 
Mungkin..aku belum sepenuhnya percaya dan berserah kepadaNya.
Moga Allah maafkan aku yang berani mempertahankan harapan, 
sedangkan pilihan itu mungkin saja salah.
Moga Allah memberi aku rasa berani, untuk melepaskan segalanya kepadaNya bersama usaha tawakal yang tak pernah lelah.

Cukuplah Allah sebagai pelindungku selama aku hidup didunia ini.
Kebahagiaan cuma di Syurga, moga kita semua dirahmati dengan nikmatNya.

Saturday, February 15, 2020

Hidup adalah gerak

Meluruh daun bunga di taman,
Dulu dijaga jua ditatang,
Lirih lemah semangatmu teman,
Dipukul hebat takdir yang datang.

Cantiknya dulu si bunga kekwa,
Namun lamanya tanpa siraman,
Usah beralah dalam kecewa,
Ujian datang bukan hukuman.

Dulunya taman penuh berwarna,
Penuh segar dedaunan redup,
Kita cuma hambaNya yang hina,
Mengapa sanggup membuang hidup?

Setelah air jernih dijirus,
Pastilah hidup dan tidak mati,
Hidup ini mestilah terus,
Kerana Tuhan sedang perhati.

Kembali wangi bunga kemboja,
Menjadi pujaan si burung merak,
Hati kecewa didalam saja,
Bangkit berdiri dan terus gerak!

~Nur_aqli, 2020

Thursday, February 13, 2020

Pergelutan suara-suara

Suara 1:
Kasihan aku tengok kau.
Kau memang tak faham atau enggan faham?
Kalau tak, memang tak lah.
Usah kau merendahkan diri lagi, menipu hati lagi..cuma akhirnya untuk berputih mata.

Suara 2:
Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengasih.
Kepada semua, termasuk juga kau.
Apa-apa yang berlaku adalah keizinanNya.
Pastilah semua itu datang dari Dia yang penuh Kasih Sayang dan Maha Dekat.
Apa jua yang kau hadapi, semuanya kerana Dia Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Suara 1:
Mungkin Tuhan sedang membalas dosa-dosa yang kau lakukan sendiri.
Dosa dan kesalahan yang kau lakukan kerana kelemahan.
Namun jujurnya, adakah benar kerana lemah atau memang kau bernafsu serakah?

Suara 2:
Allah itu Maha Penerima Taubat. Dia mengampunkan hambaNya berkali-kali.
Kau jangan putus asa. Tetaplah kembali kepadaNya.
Dunia bukan medan pembalasan kerana halimnya Tuhan.
Ini cuma pentas Darul Imtihaan, penentu perjalanan seterusnya.

Suara 1 & 2:
Hidup ini gerak.
Walau gelora fikiran dan hati belum selesai, hidup mesti terus.
Cuba, pada setiap masa, untuk membuat pilihan terbaik untuk Dia, keluarga dan kamu sendiri.
Apa-apa yang tidak selesai, tiada jawapan atau tiada harapan: tinggalkan.
Tinggalkan, walaupun tidak dapat lupakan.
Tinggalkan, kerana jika ada jawapan atau penyelesaian yang memerlukan kamu, pasti ia datang lagi.
Hidup mesti terus, kerana kau perlu bersedia untuk perjalanan seterusnya.
Perjalanan hanya terhenti antara dua destinasi: Syurga atau Neraka.
Bekalanmu kini, cukup untuk ke mana?

~Nur_aqli, 2020