Thursday, July 30, 2020

Pantun sabar kerana luka

Meniti sungai jangan terjatuh, 
Nanti basah airnya mencurah, 
Luka janganlah asyik disentuh, 
Jika disentuh berdarah merah

Pergi mandi ditepi perigi, 
Lalu ke sawah tenaga dikerah, 
Maafkan lalu melangkah pergi
Ubatnya masa serta berserah

Ibu memesan buah keranji, 
Senang dibeli dikedai Aki,
Kita hambaNya akan diuji
Kurangnya jiwa, harta, rezeki

Ke laut pula jala ditebar, 
Saban hari rezeki ditawar, 
Pabila luka dijawab sabar, 
Segala pahit jadi penawar

~ Nur_aqli, 2020

Sunday, March 22, 2020

Harapan seperti perahu kertas

Kertas putih itu dilipat kemas. Ditajamkan alur lipatannya membentuk perahu kecil. Satu-satu perahu kertas itu dibelek, diteliti agar elok buatannya. Supaya kukuh dia nanti bila dilayarkan.

Aku fikir, harapan-harapan dan perbuatan baik itu sungguh seperti perahu-perahu kertas itu. Masing-masing membawa makna yang khusus sewaktu ia dibuat. Ia membawa tujuan agar sampai ke pengakhiran maksud, namun perahu-perahu itu cuma sejenis usaha. Ia lansung tiada jaminan apa-apa tentang bagaimana pembalasan kepada kesabaran dan kegigihan.

Kemudian, perahu-perahu kertas itu dilayarkan satu-satu disungai yang tenang. Sederhana ia menolak air, ditiup angin, entah kemana akhirnya nanti. Ada yang tenggelam saat diletakkan diair, ada yang laju ditolak arus. Ada yang lansung hilang dari pandangan mata, ada yang lama dapat diperhatikan perlayarannya, namun nanti hilang jua dipandangan.

Tidak mengapa. Perahu-perahu kertas itu telah terjadi elok, hasil buatanmu sendiri. Apa nanti yang terjadi kepadanya, bukan kuasa si pembuat perahu kertas. Tidak pantas kau bimbangkan nasib perahu-perahu itu.

Hadiah kesabaran adalah kesabaran itu sendiri, dan ketenangan menghadapi keputusan Tuhan. Apa-apa yang berlaku pada seorang mukmin itu baik baginya, kerana hanya mengharap belas dan balas dariNya. 

La haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil adzim

Tuhanku adalah Allah, dan Dia pasti tak akan mensia-siakanku

Monday, March 02, 2020

Tulis dan lepaskan

Mulanya,
Tuliskan harapan-harapan pada lembaran putih
Jangan kau tinggalkan satu pun
Penuhkan sehingga tiada putihnya lagi

Selepas itu,
Tuliskan pula ketakutan-ketakutan
Dari yang sekecil-kecil
Sehingga yang sebesar-besarnya

Kini kedua-duanya kau genggam
Usah simpan dalam fikiranmu lagi
Usah bebani hatimu lagi
Kerana yang mendatang
Lebih memerlukan fikiran dan hati

Sekarang,
Perhati yang didepanmu
Semua perkara yang memerlukan kehadiran
Hati dan fikiran kamu
Apa langkahmu seterusnya?

Nanti,
Bila kau sudah bersedia,
Lepaskan lembaran-lembaran itu
Simpan disuatu kawasan sunyi
Sembunyi antara kamu dan Tuhanmu

Kerana,
Alangkah sayang
Jika dibeku oleh harapan dan ketakutan
Sehingga habis sisa kehidupan
Tanpa apa-apa yang boleh dibanggakan

~Nur_aqli, 2020