Sekembang bunga ditapak tangan,
Dihulur ikhlas kepada teman,
Tak sedar ia meluka genggaman,
Durinya masih beri cengkaman
Mata berkilau menyalahkan takdir,
Salahkan bunga masih berduri,
Terus dibunuh rasa yang hadir,
Demi melindung hati sendiri
Yang memberi terpana rasa,
Rupanya dia terluka juga,
Duri bunga terasa biasa,
Tidak mahu melukakan jua
Akhirnya bunga hancur binasa,
Keduanya hilang takdir bersama,
Berjalan terus menyusur masa,
Tetapan hidup harus terima
Andai kita bertemu semula,
Semoga hati dikuatkanNya,
Mencuba lagi untuk bermula,
Mencabar takdir ketentuanNya
~Nur_aqli, 2019
No comments:
Post a Comment