Sunday, November 29, 2020

Helang dan pipit takkan bersama

Beronak duri jalan berliku, 
Bila sampai tak siapa tahu, 
Banyaklah salah pada diriku, 
Aku hendak orang tak mahu.

Jauhlah sudah jalan kuredah,
Sepi sendiri tiada kawan, 
Aku si pipit terbangnya rendah, 
Dia si helang membelah awan. 

Tak lama malam akan menjelang, 
Membikin hati bertambah rawan, 
Biarlah helang bersama helang, 
Kecil si pipit tidak terlawan. 

~Nur_aqli, 2020

Sunday, November 22, 2020

Tak apa lah

Rasa macam akan ditolak lagi. 
Atas alasan yang bukan dalam kemampuanku untuk mengubahnya. 
Banyak kali begini. 
Sesuatu mati tanpa sempat diberi nafas. 
Memanglah ada hikmah. 
Tapi... 
Hujung jari-jariku bagai tidak terasa lagi. 
Fikiran penuh dan kosong pada masa yang sama. 
Hati terasa lohong dan beku. 
Kaku. 
Hela nafas pendek-pendek.
Kecewa kepada diri dan hati: mengapa terlalu berharap.
.
.
.
Hmm 
Ok. 
Kalaupun harapan tidak salah, boleh tak jangan sedih sangat? 
Entahlah. Seberapa banyak "tidak" lagi? 
Harapan untuk berkeluarga, berkasih sayang... Itu fitrah yang masih tidak dapat aku diamkan. Sebenarnya risau juga jika aku berjaya diamkan, adakah hati telah bertukar menjadi batu. 
Mahu rela saja dengan jalan takdir ini, tapi tiada jalan lain...ini semua perlu dilalui demi merealisasikan impi, memenuhi harapan dan keinginan. 
Lalu untuk kesekian kalinya, "Tak apa lah" lalu meneruskan langkah. 
Kalau sudah Allah tentukan tiada, tidak jadi, malah terbakar menyala-nyala: Apa yang perlu dibuat olehku yang sudah dihujung harap, dihujung usaha? 
Aku percaya Allah Maha Baik, dan aku sebenarnya tidak risau. 
Cuma sedih saja. Dan letih. Serta bosan. 
"Tak apa lah" dan aku serahkan padaMu. Hidup mesti diteruskan. 
Aku sebenarnya tiada pilihan. 

Tuesday, August 11, 2020

Pantun andainya jodoh

Membanting tulang sehingga penat, 
Rehatmu tiba di hari Ahad,
Aku dan kamu punya amanat, 
Berusaha beribadat ke liang lahad

Jiwamu hidup dengan iktikad, 
Memerah kudrat sehingga kering, 
Melangkahlah terus dengan tekad, 
Walaupun jalan tidak seiring

Raja yang benar raja berdaulat,
Hamba menurut untuk bahagia, 
Hakikat bumi sebenar bulat, 
Andainya jodoh bertemu jua

~ Nur_aqli, 2020