Sunday, November 22, 2020

Tak apa lah

Rasa macam akan ditolak lagi. 
Atas alasan yang bukan dalam kemampuanku untuk mengubahnya. 
Banyak kali begini. 
Sesuatu mati tanpa sempat diberi nafas. 
Memanglah ada hikmah. 
Tapi... 
Hujung jari-jariku bagai tidak terasa lagi. 
Fikiran penuh dan kosong pada masa yang sama. 
Hati terasa lohong dan beku. 
Kaku. 
Hela nafas pendek-pendek.
Kecewa kepada diri dan hati: mengapa terlalu berharap.
.
.
.
Hmm 
Ok. 
Kalaupun harapan tidak salah, boleh tak jangan sedih sangat? 
Entahlah. Seberapa banyak "tidak" lagi? 
Harapan untuk berkeluarga, berkasih sayang... Itu fitrah yang masih tidak dapat aku diamkan. Sebenarnya risau juga jika aku berjaya diamkan, adakah hati telah bertukar menjadi batu. 
Mahu rela saja dengan jalan takdir ini, tapi tiada jalan lain...ini semua perlu dilalui demi merealisasikan impi, memenuhi harapan dan keinginan. 
Lalu untuk kesekian kalinya, "Tak apa lah" lalu meneruskan langkah. 
Kalau sudah Allah tentukan tiada, tidak jadi, malah terbakar menyala-nyala: Apa yang perlu dibuat olehku yang sudah dihujung harap, dihujung usaha? 
Aku percaya Allah Maha Baik, dan aku sebenarnya tidak risau. 
Cuma sedih saja. Dan letih. Serta bosan. 
"Tak apa lah" dan aku serahkan padaMu. Hidup mesti diteruskan. 
Aku sebenarnya tiada pilihan. 

Tuesday, August 11, 2020

Pantun andainya jodoh

Membanting tulang sehingga penat, 
Rehatmu tiba di hari Ahad,
Aku dan kamu punya amanat, 
Berusaha beribadat ke liang lahad

Jiwamu hidup dengan iktikad, 
Memerah kudrat sehingga kering, 
Melangkahlah terus dengan tekad, 
Walaupun jalan tidak seiring

Raja yang benar raja berdaulat,
Hamba menurut untuk bahagia, 
Hakikat bumi sebenar bulat, 
Andainya jodoh bertemu jua

~ Nur_aqli, 2020

Saturday, August 01, 2020

Korban di Darul Imtihaan

Perumpamaan apabila kita perlu melakukan pengorbanan, kita mengambil hikmah dari kisah Nabi Ibrahim yang membulatkan tekad dan menyerahkan masa depan kepada Allah swt.
Nabi Ismail pula apabila kita yang perlu menerima ujian, namun bersedia dengan berani dan menyerahkan diri secara menyeluruh kepada perintah dan keputusan Allah.

Bayangkan jika kita mengambil tempat Nabi Ibrahim:
Waktu menerima perintah, adakah hati tidak berat? 
Waktu memberitahu Nabi Ismail tentang perintah itu, adakah hati tidak patah? 
Waktu mengasah pisau, adakah jiwa tidak berdarah? 
Waktu meletakkan pisau dan mengorbankan anaknya, adakah ada selain pergantungan Allah? 

Bayangkan pula jika kita mengambil tempat Nabi Ismail:
Pastinya, akan disembelih oleh ayah sendiri.
Pastinya, ini bukan dari ayahku, tapi dari Tuhanku. 
Pastinya, perintah ini tidak mungkin difahami akal insani, namun segalanya dalam kuasa dan pengetahuan Allah. 
Pastinya sejuk pisau ditengkuk terasa ngeri, tapi hanya Allah tempat berserah dan bergantung harap. 

Allahuakbar 

Kala Allah menggantikan korban Nabi Ibrahim dengan seekor kibasy, sekelip mata saat sedih itu bertukar jadi gembira dan syukur, menerima pula rezeki yang tidak disangka-sangka kerana pengorbanan yang telah dilaksanakan. 

Kita pula bagaimana? 
Perintah Allah swt sememangnya berat untuk dilaksanakan dan diterima. 
Sabar dan syukur tidak automatik. Apatah lagi iman dan percaya kepadaNya.
Segalanya berjalan sesuai sunnatullah. Hanya dikatakan, "Jadilah", maka ia terjadi. 
Kita semua diuji untuk menentukan tempat kita diakhirat nanti. Kita diuji, namun sentiasa dalam perhatianNya. 
Ingat, 
Allah sayang kamu! 
Sini bukan akhirmu, tetaplah berjuang dalam putaran pengorbanan sehingga terlepas dari tali dunia dan kembali sebagai jiwa yang tenang, pulang ke dakapan Yang Maha Penyayang. 
Sungguh, Allah sayang kamu!